2009
10.08

Obesiti

Apa itu berlebihan berat badan?

Anda dikatakan berlebihan berat badan jika Indeks Jisim Tubuh (IJT) anda adalah di antara 25.0 kg/m2 hingga kurang daripada 30.0 kg/m2

Apa itu obesiti?

Obesiti terjadi apabila pengambilan tenaga melebihi keperluan. Anda dikatakan obes  sekiranya Indeks Jisim Tubuh  (IJT) anda mencapai 30.0 kg/m2 atau lebih.

Apakah penyebab berlebihan berat badan dan obesiti?

Berlebihan berat badan atau obesiti adalah akibat ketidakseimbangan tenaga dimana pengambilan melebihi penggunaan pada jangka masa yang panjang.Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kalori  serta penurunan tahap aktiviti fizikal juga merupakan faktor penyumbang utama masalah kegemukan dan obesiti.

Masalah lain juga boleh menyebabkan kegemukan. Ini termasuk:

  • Pengambilan sesetengah jenis ubat
  • Penyakit seperti hypothyroidism, penyakit Cushing’s hypothalamic tumors.
  • Pengurangan mendadak tahap aktiviti fizikal (ahli sukan yang bersara)
  • Ketidakseimbangan hormon

Apakah masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan kegemukan?

  • Penyakit jantung dan tekanan darah tinggi

    Risiko penyakit jantung yang berkaitan dengan obesiti adalah lebih akut di kalangan orang dewasa muda. Risiko juga tinggi dikalangan mereka yang berlebihan lemak pada bahagian abdomen.

  • Tekanan darah tinggi dan angin ahmar

    Orang dewasa muda (berumur 20-44 tahun) yang berlebihan berat badan mempunyai risiko mendapat tekanan darah tinggi sebanyak 5.6 kali lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai   berat badan normal.

  • Kencing Manis. Terutama di kalangan dewasa yang mempunyai berlebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Kanser. Beberapa kajian menunjukkan kaitan yang positif antara berlebihan berat badan dan kanser terutama yang diakibatkan oleh hormon seperti kanser  payu dara, kanser serviks, kanser uterus dan kanser ovari dan prostat.
  • Masalah endokrin. Kitaran haid yang tidak tetap, masalah berkaitan haid yang lain, dan masalah komplikasi kehamilan, terutamanya toksemia dan tekanan darah tinggi.
  • Penyakit pundi hempedu.  Obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit pundi hempedu bagi lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur. Risiko tersebut semakin meningkat apabila terdapat lebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Penyakit paru-paru. Individu yang  obes mengalami masalah pernafasan. Ini mungkin diakibatkan oleh pengecilan rongga toraks akibat pengumpulan lemak di bahagian rusuk, abdomen dan diafragma.
  • Arthritis. Individu yang obes adalah berisiko tinggi untuk menghidap gout artritis iaitu keadaan yang sangat menyakitkan. Berlebihan berat badan akan memberi tekanan pada sendi-sendi, bahagian belakang dan lutut. Akhir sekali ia akan menyebabkan osteoartritis.

Bagaimana untuk menurunkan berat badan?

  • Runding dengan doktor anda untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah perubatan, biologi atau masalah psikologi yang menyebabkan masalah berlebihan berat badan.
  • Runding dengan pakar pemakanan atau pakar diet dari klinik atau hospital untuk mendapatkan nasihat cara menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
  • Anda perlu tahu keperluan tenaga harian anda supaya anda boleh mengurangkannya untuk menurunkan berat badan anda.
    • Gunakan kaedah pengiraan –
    • (rujuk garispanduan untuk mengira keperluan tenaga harian).
    • Rujuk contoh menu mengikut keperluan kalori anda.
  • Jangan terlalu mengurangkan pengambilan kalori kerana jika anda betul-betul lapar, anda akan makan berlebihan.
  • Makanlah mengikut saranan daripada Piramid Makanan Malaysia. Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Jangan hindar terus sumber gula dan lemak kerana ini boleh meningkatkan keinginan anda untuk makan. Selain itu, tubuh badan anda juga memerlukan nutrien yang terdapat dalam lemak dan karbohidrat.
  • Paling Penting: Lakukan senaman dengan konsisten. Mulakan dengan berjalan beberapa minit dan perlahan-lahan tingkatkan jangka masa senaman sehingga  45-60 minit sehari setiap hari. Jika anda belum pernah melakukan senaman, dapatkan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu.
  • Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan kumpulan sokongan.

Ingat : Penurunan berat badan yang sihat dan realistik memang mengambil masa. Kehilangan ½ kg seminggu mungkin tidak memotivasikan anda, tetapi jika terlalu cepat berat badan diturunkan, anda akan membuat diri anda lapar dan akhirnya anda akan makan lebih banyak.

No Comment.

Add Your Comment